Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
TEMBURONG, Isnin, 9 Mac. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini sekali lagi telah berkenan mengurniakan kurnia peribadi baginda sempena Hari Raya Aidilfitri kepada golongan-golongan tertentu yang terdiri daripada rakyat dan Penduduk Tetap Negara Brunei Darussalam yang berugama Islam.
Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang melibatkan seramai 19,242 penerima ini merupakan kali yang ke-17 ia diadakan yang bertujuan bagi membantu meringankan bebanan golongan-golongan tertentu khususnya dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Pengagihan kurnia peribadi pada kali ini telah disempurnakan oleh paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku wakil-wakil peribadi baginda secara serentak di keempat-empat daerah, diikuti dengan pengagihan kurnia di beberapa pusat-pusat pengagihan yang telah ditetapkan.
Di Daerah Temburong, berangkat selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.
Keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah ke Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Mukim Bangar, Daerah Temburong dijunjung oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Arif Awang Haji Muhammad Bahrin bin Haji Alias.
Di majlis tersebut, Yang Teramat Mulia telah berkenan menyampaikan Kurnia Peribadi Kebawah DYMM kepada seramai 677 orang penerima bagi Daerah Temburong.
Pengurniaan ini jelas memperlihatkan keprihatinan Kebawah DYMM yang berterusan dalam memeduli kesejahteraan dan hal ehwal golongan-golongan tertentu di negara ini lebih-lebih lagi dalam beberapa hari sahaja lagi negara akan menyambut dan meraikan Hari Raya Aidilfitri.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)